Sejarah awal penubuhan sekolah ini mengikut cerita dan sumber-sumber yang diperolehi hasil dari pertemuan, temuduga serta maklumat yang sahih telah diperakui dari orang-orang tua dikawasan ini serta penduduk asalnya, adalah dipercayai bahawa sekolah ini mula dibuka pada tahun 1920. Pada asal penubuhanya sekolah ini bernama Sekolah Melayu Simpang Pulai dengan jumlah murid 16 orang. Bangunan asal sekolah ini pada mulanya terletak di bahagian hadapan sebelah kanan Masjid Jamek Sultan Ibrahim Pekan Ayer Hitam yang mana bangunannya masih kekal lagi tetapi telah diubahsuai. Struktur bangunan sekolah ini asalnya diperbuat dari kayu hutan dan beratapkan daun rumbia hasil dari pembinaan penduduk setempat secara gotong royong.
Sekolah Melayu Simpang Pulai adalah sebuah sekolah aliran Agama dimana murid-murid yang belajar disini diajar khusus untuk mata pelajaran Agama Islam iaitu merangkumi kelas fardu ain, pelajaran jawi dan asas membaca Al-Quran. Tenaga pengajarnya adalah terdiri daripada kalangan penduduk setempat yang mahir dalam bidang-bidang tersebut dan berkhidmat secara sukarela. Kelas bimbingan agama ini berjalan selama 15 tahun. Kelas ini telah mendapat perhatian pentadbiran British pada masa itu yang beribu pejabat di Jalan Johor iaitu ditapak bangunan Restoren Antarabangsa sekarang ini. Pihak pentadbir British telah mengenal pasti satu tapak baru untuk didirikan bangunan sekolah tetap untuk kemudahan penduduk setempat. Pada 24.10.1934 kerajaan telah mewartakan tapak baru dengan nombor 858 seluas 3e. 1r. 35p bilangan Lot:2 bersebelahan tapak Balai Polis Lama. Tapak tersebut ialah bangunan Sekolah Kebangsaan Ayer Hitam sekarang ini. Bangunan ini mula dibina pada pertengahan tahun 1934 dan siap pada penghujung tahun yang sama.
Pada awal tahun 1935 bangunan ini digunakan sepenuhnya untuk sesi persekolahan tetap di bawah pentadbiran Pasukan Kluang Kerajaan British. Kemudian sekolah ini dinamakan Sekolah Melayu Ayer Hitam. Guru Besar pertama yang dilantik oleh pentadbir British di sekolah ini ialah Tuan Hj. Musanif b. Musa. Oleh kerana sekolah ini terdiri dari satu bangunan sahaja serta mempunyai tiga bilik darjah dan bilang murid yang semakin bertambah maka sebuah bangunan telah dibina di belakang Masjid Jamek Ayer Hitam iaitu di bangunan Taski sekarang ini dengan persetujan Lembaga Jemaah Pengurus Sekolah. Bangunan tersebut kemudiannya dinamakan Sekolah Melayu Perempuan Ayer Hitam, sementara bangunan sekolah yang sedia ada ini ditukar nama kepada Sekolah Lelaki Ayer Hitam.
Guru Besar yang dilantik untuk mentadbir Sekolah Melayu Perempuan Ayer Hitam ialah Puan Fatimah bte Kassim. Sekoah Melayu Perempuan Ayer Hitam dibuka pada tahun 1938. Sekolah Melayu Perempuan Ayer Hitam ini hanya setakat darjah empat (4) sahaja. Pelajar-pelajar perempuan yang telah lulus dalam dalam peperiksaan akhir tahun, tahun 4, akan melanjutkan pelajarannya di tahun 5 Sekolah Melayu Lelaki Ayer Hitam. Pada tahun 1936 Guru Besar pertama telah berpindah ke tempat lain dan tempat beliau digantikan oleh En. Mahfoz b. Hamzah sehingga pemerintahan Jepun pada tahun 1942.
Pada tahun 1942 semasa permerintahan Jepun sekolah ini telah dijadikan markas tentera Jepun. Walau bagaimana pun perjalanan pembelajaran dan pengurusan sekolah adalah seperti biasa yang mana pengurusannya di tadbir pihak Jepun. Selepas Jepun menyerah kalah, sekolah ini telah diambil alih pentadbiran British dan ditukarkan nama kepada Sekolah Umum Ayer Hitam pada tahun 1946.
Untuk menampung pertambahan pelajar, sebuah bangunan telah dibina di Jalan Yong Peng yang mana masih digunakan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah serta Sekolah TABIKA Kemas Ayer Hitam dan Pejabat UMNO Bahagian dan Cawangan Ayer Hitam sehingga kini. Bangunan ini dibina secara gotong royong oleh penduduk setempat dan tapak bangunan ini telah diwakafkan oleh Hamba Allah yang tidak mahu namanya disiarkan sehingga kini. Pada 04.06.1964 tanah ini telah diwartakan (No:636, Lot:44 dan No. Hak Milik P25650) oleh kerajaan atas nama SK Perempuan Ayer Hitam dengan keluasan tanah 0e. 2r. 35.5p. Tapak dan bangunan ini telah digunakan sebagai sekolah induk sehingga tahun 70an. Pada tahun 1959 sekolah ini ditukar namanya kepada Sekolah Kebangsaan Ayer Hitam. Perubahan nama sekolah ini adalah permintaan daripada Ahli PIBG pada masa itu, ketika sekolah dan PIBG mengadakan majlis Hari Raya pada tahun itu juga.
Pada tahun 1985, untuk mengelakkan kesesakan serta dibuat pemecahan dua sesi persekolahan, sebahagian pelajar sekolah ini telah ditumpangkan di Sekolah Agama Ayer Hitam di Jalan Yong Peng. Pada tahun 1987 Sekolah Ayer Hitam telah memulakan dua sesi persekolahan pagi untuk tahap 2 dan sesi petang untuk tahap 1 sehingga tahun awal Januari 1996.
Sesi persekolahan satu sidang bermula pada awal tahun 1996 apabila pembinaan tambahan bangunan baru dua blok tiga tingkat siap dibina pada tahun tersebut. Pembinaan bangunan ini telah diperuntukkan sebanyak RM1.3 juta oleh pihak kerajaan dan mulai dibina pada tahun 1994. Pengajaran dan Pembelajaran di sekolah ini berjalan lancar sehingga kini. Mulai tahun 2004 murid-murid semakin bertambah ramai bilangannya iaitu 1024 orang kerana pembinaan taman-taman perumahan semakin meningkat di sekitar Ayer Hitam.
Pada 29.03.2001 Wakil Syarikat CS Tech Venture Sdn Bhd telah hadir melawat bagi penentuan tapak pembinaan Projek Penyediaan Instrastruktur Fazikal dan Perkomputeran di SK Ayer Hitam. Kerja-kerja pembinaan makmal komputer ini, siap pembinaannya termasuk pemasangan peralatan penghawa dingin dan eletrik. Pembinaan bangunan Makmal Komputer ini siap dan diserahkan kepada pihak pengurusan sekolah pada 26.02.2004. Perakuan penyerahan dan penerimaan bangunan makmal komputer ini telah diwakili oleh En. Isnain b. Bachik (GPK 1) dan En. Seman bin Yahya (PT N11) selaku wakil sekolah. Manakala Pihak JPNJ diwakili oleh Tn. Hj. Hamidi b. Jaafar, Penolong Pengarah (Projek) Unit Perancang, Pembangunan dan Bekalan dan En. Mohamad Nor b. Mohd Zin Penyelia Kanan Unit Pembangunan PPD Batu Pahat. Seterusnya Wakil Kontraktor di wakil olah Pengarah Syarikat Ket-Kenson Berhad En Thomas Tan dan Jururunding En. Halizan b. Idin Kordinator Utama Zon Selapan dari QSC Project Sdn. Bhd. Kuala Lumpur. Pengajaran dan pembelajaran menggunakan komputer berjalan dengan lancar sehingg kini
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment